Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.
“Beberapa langkah segera akan diambil untuk membawa keluar pelajar-pelajar kita dari Mesir,” katanya kepada Bernama di sini.
Antara langkah berkenaan ialah meminta kapal Bunga Mas 5 iaitu sebuah kapal serbaguna yang dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia yang sedang bertugas di Teluk Aden, untuk belayar ke Pelabuhan Adabiyah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari selatan Kaherah, bagi membawa keluar pelajar-pelajar berkenaan.
“Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan Adabiah pada 5 Februari. Ia dapat memuatkan kira-kira 500 pelajar kita,” katanya.
Najib juga berkata bahawa beliau sudah berunding dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk meminta syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia untuk melakukan penerbangan khas ke Kaherah untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia.
“Mereka (MAS dan AirAsia) akan memaklumkan kepada saya esok mengenai kemungkinan menggunakan pesawat mereka untuk tugas ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha membawa pelajar-pelajar Malaysia ke Jeddah untuk ditempatkan sementara di pusat Tabung Haji di sana sehingga ada penerbangan pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun, menurutnya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk urusan visa pelajar berkenaan.
“Kerajaan sedang berurusan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran khas membawa para pelajar kita ke Jeddah,” kata Najib.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi maklumat lanjut mengenai perkara itu kepada pelajar dan ibu bapa esok.
Sementara itu, Kohilan yang berada di Kaherah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pesawat C-130 Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan digunakan bagi membawa keluar pelajar Malaysia di Mesir secara berperingkat ke negara jiran terdekat.
Katanya Dewan Malaysia Abbasiyah, Rumah-Rumah Negeri di Kaherah, dan Rumah Mara di Iskandariah menjadi kawasan perlindungan selamat kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.