Sultan Kedah Dilantik Sebagai Yang Dipertuan Agong Untuk Kali Kedua
ALOR SETAR: Pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua bermula Selasa merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh penduduk Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.
"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini Isnin.
Azizan berkata beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.
Katanya agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan akan terus dijaga.
"Pastinya pesanan serta pandangan Tuanku yang konstruktif, galakan dan tunjuk ajar kepada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan menjadi suntikan dan panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri," katanya. – BERNAM
Untuk rekod, Sultan Abdul Halim adalah sultan yang pertama yang menjadi YDPA untuk kali kedua selepas pemerintahan baginda sebagai YDPA pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 September 1975. Dan Sultan Abdul Halim adalah YDPA pertama yang akan bersemayam di Istana Negara yang bari di Jalan Duta.
Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 Nov 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah.
Baginda yang juga lulusan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam Wadham College Oxford United Kingdom, pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah pada 1950-an.